Bangi: Pengambilan madu dan pati minyak zaitun sejak berusia 13 tahun antara amalan yang dilakukan penerima Anugerah Tertinggi Kolej PERMATApintar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Khalil Kamaruzzaman, 17, untuk menjaga kesihatan dan kekal fokus dalam pelajaran.
Dia berkata, minyak zaitun yang mempunyai banyak khasiat mampu memberinya tenaga ketika berada di kelas atau melakukan aktiviti luar.
“Memang tidak dinafikan, tabiat makan yang betul akan membantu kita sentiasa sihat baik dari segi fizikal mahupun mental.
“Sebab itu, saya mengambil madu dan minyak zaitun yang memang berkhasiat untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran,” katanya selepas Majlis Graduasi ke-6 PERMATAPintar di sini, semalam.
Pada majlis itu, 60 pelajar menerima High School Diploma Pusat PERMATApintar Negara UKM.
Khalil yang juga anak kedua daripada empat beradik berkata, pencapaian yang diperolehnya menjadi pembakar semangat untuk memperoleh keputusan 11A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang akan didudukinya tidak lama lagi.
“Pada percubaan lalu, saya mendapat keputusan 6A+, 4A dan 1A-. Saya sangat bersyukur dengan anugerah ini dan bertekad lebih rajin belajar supaya dapat membanggakan keluarga dan guru.
“Sepanjang berada di kolej ini, ibu bapa adalah pendorong utama saya. Mereka sentiasa memberi sokongan dan semangat untuk saya mencapai cita-cita sebagai doktor,” katanya.
Anugerah tertinggi diberikan kepada Khalil atas pencapaian akademik terbaik dan aktif dalam pelbagai program sepanjang pengajian di Kolej PERMATApintar UKM.
Sementara itu, Pengarah Pusat PERMATApintar Negara, Prof Datuk Dr Noriah Mohd Ishak berkata, kohort pertama hingga kelima pelajar Kolej PERMATApintar Negara kini melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda, sarjana dan kedoktoran di dalam serta luar negara.
“Sehingga kini, seramai 131 pelajar PERMATApintar melanjutkan pengajian di luar negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, China, Perancis, New Zealand, Korea, Jepun, Rusia, Jordan, Mesir, Sepanyol, Jerman dan Indonesia.
“Bagi pengajian dalam negara, seramai 230 pelajar mengikuti pengajian peringkat sarjana muda, tujuh di peringkat sarjana dan tiga di peringkat doktor falsafah,” katanya.
0 comments:
Post a Comment